Monday 12 January 2015

Perluas Pasaran As-Sidq




SEDANIA As Salam Capital Sdn Bhd (As Salam Capital) berhasrat menjalin usaha sama dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) dalam memperluaskan pasaran produk As-Sidq yang dibangunkan syarikat itu.

As-Sidq adalah produk perbankan halal, bertindak sebagai platform memperdagangkan kredit pelan prabayar untuk dijadikan komoditi bagi meluluskan pembiayaan seperti pinjaman peribadi dan perumahan, deposit-i serta Akaun Semasa dan Akaun Simpanan (Casa).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Halim M Dzin berkata, kerjasama itu akan mengukuhkan lagi pasaran perbankan halal di negara ini, selaras dengan saranan Bank Negara Malaysia supaya institusi perbankan Islam menggunakan konsep tersebut.

“As-Sidq menggunakan konsep Tawarruq di mana institusi perbankan Islam akan membeli aset, contohnya komoditi (kredit masa berbual) dan akan dijual kepada pihak tertentu bagi mendapatkan sumber kewangan.

“Konsep ini mematuhi syariah Islam dengan menepati piawaian yang memerlukan komoditi,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kelana Jaya, semalam.

Dengan kerjasama bersama SKM dan Angkasa, Halim berkata, syarikat itu menyasarkan sebanyak 50 hingga 100 koperasi bakal menggunakan produk As-Sidq menjelang tahun depan.

“SKM dan Angkasa mempunyai 10,000 koperasi di bawahnya dan ada kira-kira 4,000 hingga 5,000 koperasi yang aktif. Selain bank, koperasi juga menawarkan pembiayaan kepada ahli-ahlinya.

“Untuk jalinan kerjasama ini, kami telah berurusan dengan pihak SKM dan Angkasa untuk tindakan seterusnya. Pada tahun ini, Bank Rakyat dijangka menggunakan perkhidmatan produk kami sebelum hujung tahun ini,” katanya.

Ketika ini, beberapa institusi kewangan menggunakan produk As-Sidq antaranya RHB Islamic Banking, Affin Islamic Bank, Malaysia Building Society Berhad (MBSB), Bank Simpanan Nasional, Agrobank, Koperasi Ukhwah Malaysia Berhad dan Koperasi Bank Persatuan Malaysia Berhad.

Produk As-Sidq juga menawarkan kemudahan akad menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mengesahkan pembiayaan.

Ia turut mendapat pengiktirafan Institut Perbankan Islam dan Kewangan Malaysia (IBFIM) serta Organisasi Perakaunan dan Pengauditan bagi Institusi Kewangan Islam (AAOIFI).

No comments:

Post a Comment