Monday 12 January 2015

As-Sidq Diiktiraf Syariah



IDOTTV Sdn Bhd, anak syarikat Kumpulan Sedania yang menjadi penyedia aplikasi dan rumusan kandungan yakin semua institusi kewangan Islam di seluruh negara akan menggunakan sistem As-Sidq menjelang 2014, sekali gus menjadi yang pertama mengetengahkan ‘airtime’ atau masa berbual rangkaian telekomunikasi sebagai komoditi.

Biasanya, perjanjian kewangan disokong komoditi yang sudah didagangkan sebagai jaminan keselamatan termasuk hartanah dan nilai mata wang.

Pengarah Produknya, Halim M Dzin berkata, As-Sidq adalah sistem perdagangan diiktiraf syariah yang menjadi platform pemudah pelbagai pihak untuk menjalankan pembiayaan peribadi dilengkapi dengan sistem yang dibangunkan IDOTTV.

Katanya, setakat ini bank yang menggunakan produk As-Sidq adalah RHB Islamic serta Affin Islamic dan pihaknya akan meluaskannya ke semua bank Islamik di seluruh Malaysia.

“Menjelang akhir tahun kami akan menjalin kerjasama dengan Malaysia Building Society Bhd (MBSB) dan mereka akan menawarkan produk As-Sidq kepada orang ramai yang ingin mendapatkan pembiayaan peribadi. Manakala tahun depan pula, Al-Rajhi Bank, Maybank Islamic, Public Islamic dan CIMB Islamic akan mempunyai produk As-Sidq berikutan perbincangan yang sudah kami adakan.

“As-Sidq adalah produk unik bagi segmen perbankan Islam dan paling penting ia berlandaskan syariah serta diiktiraf Majlis Syariah Antarabangsa Isra, AAOFA Standard No 30 dan Bank Negara Malaysia. Malah dengan cogan kata kami ‘Pinjam Tanpa Was-Was’, kami mahu masyarakat Islam mendapatkan pembiayaan yang betul-betul mengikut syariah,” katanya kepada Bisnes Metro.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasinya, El Hadj Azahari berkata, menerusi produk As-Sidq orang ramai boleh mendapatkan pembiayaan dengan lebih mudah, cepat dan tiada kos tersembunyi kepada peminjam selain sistem operasi yang lebih sistematik.

Beliau berkata, As-Sidq akan diperluaskan di seluruh Malaysia terlebih dulu sebelum memberi tumpuan untuk menembusi pasaran antarabangsa memandangkan sudah mendapat permintaan.
IDOTTV juga akan memperkenalkan segmen baru di bawah produk As-Sidq pada 2012 selain pembiayaan peribadi iaitu kad kredit As-Sidq dan simpanan tetap As-Sidq.

Sumber : http://www2.hmetro.com.my/articles/SistemAs-Sidqdiiktirafsyariah/Article

No comments:

Post a Comment