Wednesday 14 January 2015

Ukhwah Pilih As-Sidq Dalam Pembiayaan Syariah



Koperasi Ukhwah Malaysia Berhad (Ukhwah) memilih As-Sidq di bawah Sedania As Salam Capital sebagai segmen pembiayaan syariah untuk ahli koperasinya.


As-Sidq adalah platform dagangan patuh syariah yang memudahkan proses pembiayaan peribadi antara dua institusi berkenaan dan Ukhwah menjadi koperasi pertama memilih As-Sidq.Perjanjian antara keduanya ditandatangani antara Ketua Pegawai Eksekutif Sedania As Salam Capital, Encik Halim Mohamed Dzin dan Bendahari Koperasi Ukhwah Malaysia Berhad, Puan Nurhairuniah Rahim. Ia disaksikan Presiden Koperasi Ukhwah, Datuk Rahim Baba dan Pengerusi Kumpulan Sedania, Tan Sri Abdul Halim Ali. Ia diadakan di pejabat koperasi Ukhwah di Medan Tuanku pada Selasa, 24 Jun.

Nurhairuniah berkata, melalui perjanjian ini, semua pinjaman Koperasi Ukhwah untuk ahlinya menggunakan kaedah patuh syariah sepenuhnya. Kini setiap bulan koperasi itu memberi pinjaman bernilai RM20 juta.

Memandang sambutan yang baik daripada ahlinya, Koperasi Ukhwah terpaksa memohon pinjaman tambahan bernilai RM100 juta daripada bank tempatan.

Janji Ukhwah seperti yang ditegaskan pengerusinya, Datuk Rahim, "Kami tidak akan melewatkan pembayaran walaupun sehari dan tidak mengurangkan pembayaran walaupun satu sen".

Nurhairuniah mengakui,Kkoperasi Ukhwah turut menerima tempias apabila Bank Negara Malaysia (BNM) menghadkan tempoh pinjaman dan kadar pinjaman mengikut gaji seseorang. Ia dilakukan bagi mengelak kadar keberhutangan yang tinggi pada rakyat Malaysia.

Koperasi Ukhwah kini mempunyai kira-kira 30,000 ahli dan koperasi sejak beberapa tahun lalu memberi dividen pada kadar 10 peratus setahun.

Nurhairuniah berkata, Koperasi Ukhwah memberi tumpuan pada pembelian hartanah kerana percaya ia memberi pulangan yang baik untuk tahun mendatang.

Sementara itu, Encik Halim berkata, pihaknya berharap dapat menarik lima atau enam koperasi lagi yang menggunakan platform As-Sidq.

"Kami menjangkakan apabila Sedania As Salam Capital menandatangani perjanjian persefahaman dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), lebih banyak koperasi akan memilih As-Sidq" katanya.

Pihaknya sudah pun berbincang dengan SKM dan kini terdapat hampir 10,000 koperasi berdaftar dengan SKM.

No comments:

Post a Comment