Laman Ilmu | As-Sidq
Kelebihan Pinjaman Islam
MENCARI yang halal itu fardu. Kita sering mendengar
ayat ini. Bersyukurlah bagi mereka yang mencari penghasilan melalui tulang
empat kerat sama ada dengan bekerja makan gaji atau menjalankan perniagaan yang
halal.
Namun, masih ada di kalangan kita yang terbelenggu
dengan beberapa kegiatan dalam pekerjaan yang melibatkan unsur-unsur haram dan
syubhat.
Ada juga yang menggunakan ‘darurat’ sebagai alasan untuk terus bekerja dalam sektor yang jelas
terlibat dalam riba, syubhat dan sebagainya.
Allah SWT berfirman yang maksudnya: Barang siapa
yang dalam keadaan terpaksa, sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula)
melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
(al-An’am: 145)
Soalan: Apakah
kedudukan seseorang yang bekerja sebagai jurujual kenderaan yang berurusniaga
dengan bank konvensional. Adakah mereka turut dikategori ‘bersekongkol’ dengan bank berkenaan walaupun ada di antara mereka
menasihatkan pembeli menggunakan perbankan
Islam?
Ust ZAHARUDDIN: Soalan ini memang amat relevan dan
menghantui banyak penjual Islam yang prihatin di seluruh dunia. Isu ini adalah
lebih kurang sama dengan penjual Islam yang didatangi pembeli yang ingin
membayar menggunakan kad kredit riba.
Jawapan yang wajar saya berikan sebenarnya agak
panjang jika beserta huraian, namun disebabkan ruangan yang terhad, secara
kesimpulannya saya berpandangan bahawa jurujual tersebut tidak dikira terlibat
terutamanya setelah dia menasihati pelanggannya untuk mengambil pembiayaan
kereta daripada bank-bank Islam.
Namun, adalah lebih cemerlang jika jurujual
tersebut mempelajari serba ringkas kelebihan pembiayaan kereta dari bank-bank
Islam demi menarik pembeli menggunakannya.
Sebagai contoh mudah, pinjaman kereta secara riba
dari bank konvensional mengenakan penalti setinggi 5-8% daripada jumlah
pinjaman sekiranya pelanggan terlewat membayar, manakala bank-bank Islam hanya
mengenakan 1% daripada jumlah yang lewat pada bulan tersebut sahaja.
Jumlahnya amat kecil, bahkan sebahagian bank Islam
di Malaysia pula menyalurkan jumlah itu kepada badan kebajikan.
Perlu diketahui juga, kadar pembiayaan kereta baru
adalah sama di antara bank konvensional dan bank Islam. Bagi kereta terpakai
terdapat sedikit perbezaan.
Namun tidak boleh untuk pukul rata mana yang lebih
murah kerana setiap bank mempunya pelbagai kriteria yang mereka lihat sebelum
menentukan kadar keuntungan yang akan diambil. Antaranya, jenis kereta, tahun
kereta, umur pelanggan dan sebagainya.
Sebagai hujah secara ringkas, ini kerana penjual
tiada boleh dipertanggungjawabkan atas sumber duit yang digunakan oleh pembeli,
jika penjual ingin dipertanggungjawabkan ia akan mencetuskan satu keadaan
kesukaran yang tiada taranya lagi.
Oleh itu, para ulama mengklasifikasikan ia sebagai
urusan yang jatuh dalam peruntukan Umum al-Balwa iaitu suatu penegahan yang
terlalu sukar untuk dielakkan.
Kes yang hampir sama boleh berlaku begini apabila
kereta lelaki A berlanggar dengan kereta lelaki B. Kesalahan dikenal pasti
berpunca dari lelaki B.
Hasilnya, semua kos pembaikan kereta lelaki A akan
ditanggung juga oleh syarikat insurans kereta lelaki B. Persoalannya, bagaimana
jika ia adalah sebuah syarikat insurans konvensional yang haram lagi riba?
Jawapannya, tiada kesalahan ke atas lelaki A, ini kerana
ia menerima pampasan syarikat yang menjamin lelaki B secara berasas, iaitu
gantirugi atau apa jua asas yang sepertinya. Tatkala itu, dosa hanyalah jatuh
kepada lelaki B yang sengaja melanggan insurans konvensional yang haram.
Ia tidak menyeberang kepada lelaki A kerana wang
bukan najis atau haram pada zatnya tetapi pada cara individu asal
mendapatkannya.
Ibn Masu’d r.a
pernah ditanya, maksudnya: Aku mempunyai seorang jiran dan tidak ku ketahui
berkenaan hartanya kecuali semuanya haram dan kotor, dan dia menjemputku (ke
rumahnya) aku merasa sukar untuk hadir dan sukar juga untuk tidak hadir.
Berkata Ibn Masu’d: "Terima
dan hadirlah jemputannya sesungguhnya dosa-dosa (dari harta haram tadi) adalah
tanggungannya sahaja”. (riwayat al-Baihaqi, 5/335 namun al-Baihaqi berkata
sanad riwayat ini tidak begitu kukuh).
Kesimpulannya, penjual dan pemaju hanya
bertanggungjawab atas akad atau kontrak antara dia (penjual) dan pembeli
sahaja, iaitu memastikannya tidak bercanggah dengan hukum syariah daripada
pelbagai sudut termasuk syarat-syarat yang termeterai di dalam kontrak itu.
Pun begitu, jika pemaju dan penjual telah sejak
dari awal memeterai perjanjian dengan mana-mana bank konvensional untuk
pinjaman riba kepada pembeli, sebagai ganjaran penjual akan menerima komisen
tertentu. Ketika itu, mereka secara sepakat kata ulama tergolong dalam kumpulan
yang bersekongkol dan terlibat dengan riba.
No comments:
Post a Comment